Dia selalu rasa sunyi, tetapi kali ini lebih sunyi dari kesunyian masa lalu yang pernah dilalui-nya. Baik ditengah-tengah keramaian, bersama set sosial yang bertukar informasi, di majlis penghalalan pertemuan dua lubang kencing, mahupun di tengah tengah kumpulan sorak yang terpalit tahi dari bontot sang politikus. Jauh dalam dirinya, dia rasa terbuang, tersisih dan terpinggir.
Berbeza dengan kali hari ini, keadaan terlalu sunyi hingga dia dapat mendengar detik detik jam yang tergantung di dinding, deruan darah yang melalui setiap salur didalam badan-nya, tiupan angin malam di luar rumahnya, hingga kesemua objek yang melintas dihadapan retina matanya seakan akan bergerak terlalu perlahan.
Ditengah tengah set teman bilik yang bergelimpangan hasil arusi minuman epal terlarang. Dia bergerak ke laman rumah, dia betul betul mahu hirup oksigen segar tanpa sebarang cemar. Disedut oksigen dalam dalam. Belum sempat dilepaskan dia berlari mencari kotak kasut yang menyimpan khazanah muda remaja-nya, dari zaman separa porno hingga ke alam tua.
Di dalamnya, tersimpan khazanah photo lama, dan segala kenangan bisu dan kaku yang terperangkap di dalam helaian kertas kilat. Dia terus menatap moment lama yang bisu itu dalam dalam. Kadang dia tersenyum, kadang dia meratap, kadang die menjuih bibir, kadang dia tersenyum kembali. Gambar gambar itu seakan meratap dan meronta ronta meminta untuk dibebaskan. Tanpa sedar ada cercaan halus yang meresapi dirinya perlahan lahan mengikis tebal ego-nya.
Dia lemah, hatinya seperti ditusuk ribuan duri semalu dan sepantas kilat dia kembali sedar membuang kesemua moment bisu itu jauh jauh dari terus meruntuhkan diri-nya.
Dia mengeluh panjang,
Di capai gitar hitam yang tersudut lama di celahan almari. Badan gitar di usap perlahan perlahan membuang sial yang melekat. Dia mementik tali gitar yang sudah berkarat dimamah udara.
"Maafkan aku, sudah terlalu lama meninggalkan kau", dia berdialog sendirian.
Bunyian minor mula memenuhi kubikel kecil peribadinya. Dia sudah tidak peduli, dia terus memetik dan menyanyi dengan penuh emosi. Dia cuma mahu larut dengan akal imaginasi-nya seperti mana senja ditelan malam.
Dia terus sendiri, menyanyi, terkumat kamit melontar lirik rindu dendam. Kerana bagi dia, tali perjalanan hidupnya sudah lama terputus. Dia cuma mahu hilang seperti mana senja merah ditelan malam.
Mungkin hidup ini hanya untuk bertahan.