Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk  Dr Haron Din menyifatkan beberapa penulis blog termasuk pemimpin politik  yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaaan  kalimah 'Allah' dalam akhbar Khatolik, adalah mereka yang ada ' short  wire ' .
Dalam erti kata lain, otak mereka mungkin sudah ada masalah, tak betul atau mungkin gila.
Barangkali, Yang di Pertua PAS Shah Alam, Khalid Samad, antara yang  menulis di blognya menyatakan sokongan terhadap keputusan membenarkan  penggunaan kalimah Allah, boleh terasa pedas maksud di atas kerana ahli  parlimen itu yang 'makan cili'.
Malah tambah Dr Haron lagi, mana-mana umat Islam yang menyokong  keputusan yang memihak akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly boleh  membawa kepada kekufuran serta syirik.
"Menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam bermakna kita  redha. Bila redha, juga secara tidak langsung boleh menyebabkan  berlakunya kekufuran dan syirik," kata Dr Haron dalam sidang media di  kediamannya di Bangi, petang Isnin.
Untuk rekod dalam hiraki parti PAS selaku Timbalan Musyridul Am beliau  dikira ulama nombor dua paling kanan dalam pengetahuan bab agama selepas  Datuk Nik Aziz Nik Mat.
"Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan  kufur sama," katanya pada penulis blog termasuk pemimpin parti-parti  politik yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu.
Katanya, memanglah setiap orang ada kebebasan bersuara menyatakan pandangan.
"Kalau hal siasah ataupun politik memanglah ada banyak padangan, tapi kalau hal agama, kita perlu balik kepada kaedah agama.
"Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran," katanya.
Pada sidang media itu, beliau menunjukkan bukti 'Holly Bible' yang pada  halaman pertamanya sahaja mencatat God, Lord serta Jesus dan tiada  langsung perkataan kalimah 'Allah'.
Ini katanya berbeza berbanding dalam al Quran bermula halaman pertama  sudah ada kalimah Allah malah dalam Surah Al-Baqarah, daripada 286 ayat  terdapat 279 kalimah itu.
Dr Haron menjelaskan, ini membuktikah kalimah Allah adalah eksklusif untuk agama Islam.
Beliau berkata, berdasarkan persefahaman inilah, umat Islam dan bangsa  lain hidup harmoni di negara ini dengan menghormati agama setiap kaum.
Dalam pada itu, Dr Haron meragui niat akhbar berkenaan yang bertegas  mahu mendapatkan kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan  mereka.
"Kenapa sekarang nak gunakan nama Allah? Saya yakin mesti ada niat yang tersurat dan tersirat.
"Kalau niat mereka baik, saya nasihatkan supaya jangan gunakan kalimah  itu kerana ia tidak baik untuk kita umat Islam... sesuatu yang  mendatangkan keburukan mestilah dicegah," katanya.
Menurutnya, mungkin pada permulaan kalimah itu hanya untuk penerbitan  sahaja tetapi mungkin lama kelamaan akan diletak pada salib dan  sebagainya.
Ulama dalam PAS itu juga berharap pada masa akan datang, perkara  membabiitkan hal agama sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah.
"Hal Allah ini adalah hal agama, jadi tempat penyelesaiannya adalah di Mahkamah Syariah.
"Kenapa nak bawa kes ini ke Mahkamah Sivil? Saya menyeru kes ini supaya  kes ini diselesaikan di Mahkamah Tinggi Syariah," katanya.
Beliau juga menyeru kepada semua pihak termasuk kerajaan dan Majlis Raja-Raja supaya segera menyelesaikan isu berkenaan.
Kenyataan Dr Haron ini menyusul selepas Mursyidul Am Datuk Nik Abdul  Aziz Nik juga menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah itu.
Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah,  sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.
''Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat  (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa  tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan  sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia  seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah''.