**
Hatinya sudah terlalu rapuh, memandang langit, memandang bumi, mengapa tuhan meletakkan dia di tengah tengah kekeliruan, kenapa dia di letakkan di atas perut bumi yang terlalu banyak menyakiti hatinya. Dia terus melangkah, lewat beberapa pengemis kudung yang tersenyum girang mengira hasil tabungan hari itu, terlintas dibenak hatinya, mereka lebih gembira dari aku, hati mereka lebih tenang dari aku. Melewati kumpulan pengemis dia meludah tanah tempat berpijak, dia meludah kali kedua, di pijak pijak ludah miliknya.
Hatinya sudah terlalu rapuh, memandang langit dan terus melangkah, dalam hatinya penuh dendam hitam dengan pengalaman hitam sepanjang hidupnya. Dalam hatinya penuh dendam pada tuhan. duduk diatas tembok jalanan matanya liar memandang langit, mencari cari tuhan untuk dipersalahkan. Tuhan yang meletakkan dirinya dalam keadaan seperti ini.
***
Hatinya semakin rapuh bila dia tiba di roda lori rojak yang bermatian mengharung arus urban, hatinya sudah terlalu rapuh untuk menjejak kembali moment-moment suram di situ. Seperti ada sisi hitam dalam dirinya yang membuat dia sentiasa berpaling jauh dari meja kanan-nya, yang dipenuhi dengan anak gadis yang baru tumbuh dada. Ada sisa sisa memori halus yang masih terpalit disitu. Seperti yang dipelajari sewaktu darjah enam dahulu. Proses pembalikkan osmosis, fikiran-nya mula diresapi, dirasuki dengan sejarah hitam yang pernah dilalui. Hati sudah terlalu rapuh untuk berkhayal dengan moment kegembiraan yang sangat luar biasa, dulu.
Hatinya sudah terlalu rapuh untuk menjejak kembali tempat di atas bumi, menyalahkan takdir hidup yang sudah tergelincir dari landasan asal. Masa, tanpa sedar dengan wajah bertopengkan seribu kegembiraan, walau nampak gagah menghadapi bodoh dan hodoh kenyataan. Masih wujud wajah sayu yang menyulami langkah dan graviti hidupnya.
***
Hatinya sudah terlalu rapuh, lewat petang, pulang ke ruang tidur miliknya, tiada gesel gesel di kaki yang diterima seperti selalu, dia merenung kipas yang ligat berputar tanpa di nikmati oleh sesiapa. Lincah mencabut apa yang boleh di cabut dari tubuh dan rebah bergelumang dengan sisa roti kelapa kelmarin yang masih ada di atas katil.
Nikotin dicucuh, dia merenung kipas yang ligat, mengenangkan mindanya yang tidak lagi seligat dulu. Batang nikotin disedut dalam dalam dan melepaskan asap berat bersama keluhan yang maha hebat. Ada lubang besar didalam hati yang tidak mampu dikambus. Ada sedu dalam diri ada penyesalan agung yang berdenyut menjahanamkan seluruh graviti hidup, ada rasa dalam jiwanya yang meraung kuat mengharapkan perhatian. Batuk keras kuat berbunyi bersulam bersama syair kehampaan.
Hatinya sudah hancur luluh, tiada apa yang dapat memberi dirinya ketenangan melainkan pil pil delusi dan togakkan epal terlarang, hanya keributan illusi minda bawah sedarnya yang mampu memberi senyuman yang sukar terukir pada raut wajahnya. Waktu itu segala pahit maung dan ujian ujian sukar yang diberikan tuhan hilang terbang menjauhi dirinya. Dia tersenyum, tersengih layak seperti sepasang pengantin baru menerima ereksi dan orgasm pertama. Di pejamkan matanya sehabis boleh, dia hanya mahu menikmati rasa rasa yang sudah lama tidak mendiami hatinya.
***
Dan, akhirnya dia larut dan meresap dalam kegembiraan buatan dan ciptaan-nya sendiri. Ianya satu lena yang panjang.
***
Awal pagi, sedar dari lena panjang. Dia melompat bangun dari katil, berteleku diatas meja. Layak seperti pemuda yang baru kehilangan isteri selepas malam pengantin baru. Untuk pertama kali selepas 3 tahun, itulah air mata pertama yang berjaya keluar dari kelopak mata miliknya. Dan air mata 3 tahun lepas, keluar selepas kematian isteri-nya 6 bulan selepas pernikahan-nya. Saat itu, hatinya sudah hancur, mulai saat itu juga dia telah kehilangan segala galanya. Kerjaya, sosial hidupnya, kawan kawan miliknya. Hatinya sudah tandus, hati sudah gersang dari kasih sayang. Dan tangisan kali ini lebih menghancurkan jiwa-nya. Bila..
***
Dia tidak mampu lagi untuk membuka langkah,
Hatinya sudah buta dengan kasih sayang,
Mulutnya sudah bisu dengan kata-kata,
Telinga-nya sudah tuli dengan bunyi,
Matanya telah buta dengan cahaya,
Hukuman ini terlalu berat baginya,
Hukuman ini terlalu dahsyat,
rintih hatinya
Hatinya sudah buta dengan kasih sayang,
Mulutnya sudah bisu dengan kata-kata,
Telinga-nya sudah tuli dengan bunyi,
Matanya telah buta dengan cahaya,
Hukuman ini terlalu berat baginya,
Hukuman ini terlalu dahsyat,
rintih hatinya
***
Hatinya sudah terlalu rapuh, hatinya sudah roboh, "mengapa tuhan.. mengapa tuhan.. mengapa aku.!" jerkah hatinya.
Sepanjang pagi itu, dia menangisi pemergian eric, kucing kesayangan miliknya, tempat dia berkongsi perasaan selepas kehilangan isterinya 3 tahun lepas. Eric, kucing yang selama ini setia menanti kepulangan-nya. Satu satunya yang membuat dia percaya bahawa tuhan masih mengasihinya.
Dia telah menjadi hamba, hamba kepada perjalanan takdir yang sememangnya dia tidak berkuasa mengubahnya. Perjalanan takdir yang dianggap satu sumpahan terhadap dirinya yang meragut semua illusi kebahagiaan yang dia angan- angankan.
Hatinya sudah roboh.
**