Usaha untuk menulis sebuah karya dan mencipta sebuah delusi agung yang bakal membayanginya, heh, telah menempelak kemampuan dan kewarasan aku. Refleksi di atas cermin setiap pagi, selain memperaga wajah yang kian lusuh dan hodoh, dengan sinisnya memperolok keteguhan azam dan semangat aku penghargaan kepada kata-kata peluntur keghairahan daripada syaitan-syaitan kecil yang mengjengkelkan. Sungguh, aku perlu tamatkan karya agung untuk tamatkan dunia penderaan mental, erm maksud aku untuk tamatkan sesi pembelajaran dibumi Kuala Lumpur.
Dan syaitan ini penggoda dan penambah perisa nafsu untuk menulis perihal dia, nyatanya jari jemari terlalu gatal untuk mencipta karya yang katanya agung untuk dia. Dengan berbekal kesabaran yang cetek, sudah cukup menjadi benteng pertahanan pertama untuk tidak menulis perihal dia, dan, sekiranya baris-baris benteng ini runtuh satu persatu, mungkin aku akan kembali seperti dulu dan mencoret semua imaginasi tentang dia dalam bentuk text-text yang makan dalam. Tetapi,
Even i stop writing about you, inside still the same. it's all about you.
Ada gagasan yang tak tercerna, ada rancangan yang terbang keluar, ada rangka yang tak terisi, ada keributan yang tak terluah, ada kesinambungan yang tak tersambung, ada barisan yang terputus tiga, terbesarnya, ada momentum luar yang meluap-luap mengacau tempo fikir dan fokus tumpu. Tentang dia dan syarikat syarikat swasta yang masih tidak melunaskan bayaran, walau kesemuanya sudah di-publish-kan.
Dalam diam-diam, aku mulai mogok dengan persekitaran yang hancing dengan kecelaruan dan kekalutan mengejar dunia, cuba memasang gelombang yang tepat, dan letak tekad, "Sebelum April kunjung, sebelum April kunjung.!"
Dan dalam diam-diam juga, ada gemersik-gemersik sarkastik di telinga kiri menyambut dan berbisik, menangkis setiap suara-suara mendorong, dan mengajuk lengguk madah laguan M. Nasir, "Bagaimana kan ku mula, dan apakah kata-kata, yang indah untuk diabadikan. Tiap wajah berkisah, tiap madah bererti, manakah ilham ku, cahaya di mata mu, ohh sudah.
Sudahnya, aku rindukan penderitaan, kerana penderitaan meluncurkan kebebasan yang terpenjara.